Pemandu Grab saya pagi ini seorang wanita. Bajunya berwarna warni menyeri pagi. Rambutnya ikal dilepas ke bahu.
Dari gayanya memandu, dapatlah saya teka yang beliau agak baru bermula dengan grab.
“Suami baru meninggal 2 bulan sebab kanser otak”.
“Kalau dulu, nak keluar rumah pun suami tak bagi”. Sambungnya lagi.
Saya diam. Fokus mendengar cerita.
Kini waktu pagi dan tengahari beliau juga mengambil upah hantar dan jemput kanak-kanak sekolah.
Katanya dulu si suami bekerja tidak tetap. Tiada pencen. Tiada tinggalan apa-apa.
“Kalau tak kerja, matilah dik. Apa nak makan?”.
Saya mengiyakan semuanya.
“Dapat lepas belanja makan, belanja sekolah anak, bayar rumah, bayar kereta pun ok kan kak? “.
Beliau angguk setuju.
Kemudian kami bersembang lagi sehinggalah sampai ke tempat kerja saya.
Sebenarnya dalam masa yang sama, beliau juga tumpangkan seorang tua yang mahu ke hospital.
“Sekarang kita tolong orang. Harap bila kita tua, ada orang lain tolong kita”.
.
.
.
Begitulah perjalanan saya setiap kali ke tempat kerja. Bermacam cerita yang dikongsi. Ada yang dapat dijadikan pengajaran. Ada yang sekadar dengar luahan ibarat angin lalu 😅.
Percaya atau tidak, kadangkala kegagalan kita sebelumnya (walau pernah gagal berkali-kali), suatu masa kita akan berhasil bangkit. Apa yang penting kita tak putus usaha dan doa.
Jika diam meratapi nasib, ia tak merubah apapun. Silap haribulan, dari situlah bermulanya kegagalan yang berterusan.
Najwa Hamidi
Bertenang selalu menang.