[Penulisan ini merupakan tulisan asal dari Dr Harlina Halijah Siraj seorang Pakar Obstetrik & Ginekologi.]
==
ISU DOULA DI MALAYSIA : Nyawa ibu dan bayi terlalu berharga untuk dijadikan taruhan
Dr Har sempat menonton sesi perbincangan hangat segmen Analisis di TV Alhijrah yang menyentuh isu doula di Malaysia baru-baru ini. Persoalan sama ada doula berperanan sebagai peneman ibu atau pengganti doktor sememangnya jelas terjawab selepas selesai sesi tersebut.
Pada hemah Dr Har, perbincangan kelmarin sebenarnya, tidak sepatutnya berlangsung in the first place. Ibarat sudah terang lagi kan bersuluh, sememangnya doula adalah peneman ibu di waktu kehamilan atau saat genting dan cemas melahirkan bayinya. Itu adalah pengertian piawai `doula’ yang sudah termaktub dan sedia terpakai.
A doula is a person who provides emotional and physical support to you during your pregnancy and childbirth. Doulas are not medical professionals. They don’t deliver babies or provide medical care. A certified doula has taken a training program and passed an exam in how to help pregnant women and their families during this exciting but challenging experience. ( WebMD – https://www.webmd.com/baby/what-is-a-doula)
[ Doula adalah seorang yang memberikan sokongan emosi dan fizikal kepada anda semasa kehamilan dan melahirkan. Doula bukan seorang ahli profesional perubatan. Mereka tidak menyambut kelahiran atau memberikan rawatan perubatan. Doula yang bertauliah mesti selesai menjalani program latihan dan lulus peperiksaan khusus untuk membantu wanita yang hamil dan keluarganya melalui pengalaman yang mengujakan dan mencabar ini]
Malangnya, di Malaysia – terdapat segelintir yang menggelar diri mereka doula, bertindak di luar batasan dan sempadan, sehingga seolah-olah mengambil alih peranan doktor dan jururawat bidan terlatih, dan membahayakan nyawa ibu dan bayi. Apatah lagi sekiranya ibu hamil tersebut dari kategori berisiko tinggi – kehamilan sulong, pernah bersalin melalui caesarean, anak songsang, ada masalah obesiti, hipertensi, diabetes, pernah lekat uri dan tumpah darah dalam kelahiran sebelum ini.
WHO : “While most pregnancies and births are uneventful, all pregnancies are at risk. Around 15% of all pregnant women develop a potentially life-threatening complication that calls for skilled care and some will require a major obstetrical intervention to survive.’ [ Pertubuhan Kesihatan Sedunia : Sekalipun kebanyakan kehamilan dan kelahiran berjalan tanpa sebarang masalah, semua kehamilan berisiko. 15% wanita hamil mendapat komplikasi yang boleh mengancam nyawa dan memerlukan jagarawatan yang terlatih. Malahan terdapat kes serius yang mesti dikendalikan dengan intervensi obsterik yang utama (major) untuk menyelamatkan nyawa].
`Nasihat, pedoman, bimbingan dan tunjuk ajar’ doula ini berjaya mempengaruhi ramai di kalangan ibu hamil sehingga mereka sanggup mengambil risiko bersalin di rumah dengan hanya bertemankan doula yang tidak dilatih untuk mengenalpasti komplikasi proses kelahiran. Sekali pun ramai ibu yang selamat melahirkan dengan melalui `pengalaman alami yang hebat dan indah’ yang kemudiannya dikongsikan dengan bangganya dalam media sosial, terdapat juga beberapa kes kematian ibu yang berlaku di kalangan mereka yang melahirkan di rumah (home birth).
Satu kes kematian ibu dan/atau bayi yang sepatutnya boleh dielakkan melalui intervensi perubatan yang segera dan cekap, sudah cukup untuk dijadikan iktibar bagi kita semua. Betapa berharganya nyawa seorang ibu dan bayi untuk dipertaruhkan sebegitu, dengan sia-sia sahaja. Punca sebenar kematian ibu dan bayi di kalangan mereka yang terpengaruh dengan kelompok `doula ekstrim’ (meminjam istilah Finaz) adalah kejahilan, kedegilan dan terlebih yakin dengan diri sendiri (over confidence, self-righteousness). Sampai bila dan berapa ramai lagi nyawa yang harus melayang sebelum kita dapat mengakui keterbatasan dan kekerdilan kita sebagai manusia biasa?
`
When a mother dies, the whole family dies with her ( Saat bila seorang ibu meninggal dunia, seluruh keluarga turut mati bersamanya), masih terngiang-ngiang di telinga Dr Har peringatan yang diucapkan mendiang Prof Dr Donald Gebbie, professor O&G berbangsa Scottish yang pernah mengajar Dr Har di Hospital Bersalin KL hampir 30 tahun yang lalu. Begitulah sekali pentingnya peranan seorang ibu sebagai tonggak & pasak keluarganya.
Kehamilan dan melahirkan bayi adalah satu proses fisiologikal menakjubkan yang dilalui oleh wanita di seluruh dunia saban hari. Secara amnya, untuk membolehkan seseorang wanita itu hamil, dia mestilah berada pada tahap kesihatan yang baik dan sejahtera terlebih dahulu. Kesihatan ibu mesti terus dipelihara dan dijaga sehingga saat melahirkan. Selepas itu, si ibu harus dipastikan terus sihat dan kuat untuk segera pulih dan menjaga bayi kecilnya. Setiap bakal ibu dan ayah sudah tentu mahukan pengalaman yang indah semasa melalui tempoh kehamilan dan saat melahirkan.
Melangkah ke hadapan, kita sebagai sebuah komuniti Malaysia yang bijak dan saksama perlu segera mengambil beberapa tindakan berikut :
1. Mendesak agar komuniti doula di Malaysia menyusun gerak kerja mereka melalui satu organisasi rasmi yang khas untuk memayungi dan bertindak sebagai pemantau, mewujudkan kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebagaimana amalan di beberapa negara maju.
2. Meningkatkan tahap pengetahuan dan informasi tepat mengenai proses kehamilan dan kelahiran khususnya kepada pasangan bakal ibu dan bapa muda yang masih tiada pengalaman agar mereka mendapat nasihat dan bimbingan yg betul dalam membuat keputusan penting berkaitan kehamilan dan kelahiran.
3. Mengenalpasti elemen perkhidmatan kesihatan di Malaysia yang perlu ditambahbaik seperti contohnya; kemahiran berkomunikasi antara pengamal perubatan dengan pesakit, kelengkapan fasiliti dan kakitangan yang mencukupi, sistem maklumbalas yang efektif – demi meningkatkan tahap kebolehpercayaan masyarakat kepada jagarawatan yang diberikan di klinik dan hospital. Agar para pesakit dan keluarga mereka tidak `lari’ atau `hilang’ dari radar perkhidmatan kesihatan Malaysia,
Gunakanlah kebijaksanaan akal anugerah Ilahi untuk kita semua membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri dan ahli keluarga.
Hadith
Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: Aku lepaskan untaku dan aku bertawakkal? Baginda menjawab: Ikatlah unta itu dan bertawakkallah.
[Sahih Ibn Hibban, no: 731]
====
Terima kasih DR Harlina di atas pandangan diatas.
Tonton video debat yang di maksudkan di bawah ini.