Anak mengadu sakit, jangan ambil mudah.
“Dia dok mengadu sakit belakang, sakit pinggang. Kami ingat biasa-biasa ja. Mungkin otot, nanti baiklah. Rupanya…. “
Hari ini saya kongsi sedikit pengalaman saya.
Kes 1.
Seorang gadis berusia 16 tahun datang ke klinik, asyik mengadu sakit belakang. Sudah berulang kali mengambil ubat tahan sakit untuk sakit belakang.
Pelik juga. Kenapa tak baik?
Saya periksa bahagian badan dan perutnya. Buncit dan keras, seperti ada ketulan di bahagian perut bawah.
Saya buat ultrasound dan nyatalah ada cyst di bahagian ovarinya. Sangat besar. Berdiameter 10cm.
Beliau di refer ke hospital dan operation berjalan lancar keesokan hari.
Kes 2.
Seorang adik berusia 13 tahun datang. Katanya susah nak kawal kencing beberapa bulan. Juga ada sedikit tak selesa bahagian pinggang.
Badannya bersaiz kecil. Pundi kencing kencang sikit dah tak boleh tahan. Asyik kerap nak terkencing.
Hasil ultrasound, terlihat cyst berdiameter 6cm di ovari kanannya.

==
Ovarian cyst kebiasaanya tidak menyebabkan simptom.
Dua kes di atas, bagi simptom sakit belakang, sakit perut bahagian bawah, kerap nak terkencing – – > ia merupakan kesan “compression” atau tekanan ke atas pundi kencing yang disebabkan oleh cyst yang membesar.

Simptom lain ovarian cyst adalah :
1. Pecah.
Cyst di ovari berpotensi pecah dan menyebabkan isinya keluar ke bahagian abdomen lalu menyebabkan sakit.
2. Pendarahan.
Pendarahan boleh berlaku didalam cyst itu sendiri dan menyebabkan sakit.
3. Torsion @ terpusing
Cyst boleh terpusing dan menyebabkan saluran darah ke ovari menjadi ‘block’ lalu menyebabkan sakit.
Apakah rawatan bagi cyst?
1. Majoriti kes adalah normal dan hilang dalam beberapa minggu. Ia perlukan pantauan melalui ultrasound secara berkala.
2. Surgeri atau pembedahan mungkin perlu bagi mereka yang alami komplikasi seperti sakit akibat saiz cyst yang membesar / pendarahan / pecah atau kemungkinan abnormaliti seperti ketumbuhan kanser ovari.
Dua kes diatas adalah sekadar contoh bahawa cyst juga boleh berlaku pada usia muda.
Jika mana-mana anak perempuan kita mengadu sakit atau tidak selesa di bahagian abdomen bawah, bawalah berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
Dr Najwa.