Bila musim hujan..

“Minta maaf doktor, kereta ni kotoq sikit. Dok bawak masuk kebun getah sekali sekala”.

Saya senyum. Alah, tak kisah pun.

Perjalanan hampir 30 minit dari Alor Setar ke Pendang petang semalam tak sunyi dari cerita-cerita tentang dia dan saya. Lebih kepada sesi suai kenal mungkin.

“Musim hujan la ni doktor. Orang kampung tak dapat menoreh. Harga getah pun turun.”

“Kedai-kedai makan pun mandom. Orang tak berapa nak beli. Kedai runcit pun orang ambil barang, hutang dulu, masuk buku”.

Cerita-cerita begini sebenarnya banyak mengingatkan zaman saya kecil dulu.

Ada harinya, melompat gembira tolong arwah atok memijak-mijak getah beku untuk dijadikan getah keping sebelum dijual ke peraih. Bila hasil jualan lebih, atok belanja sate. Itu keseronokan kami dulu.

Dulu di kampung, rumah saya juga ada buku tiga lima sendiri di kedai runcit.

Tapi itu 25-30 tahun lepas. Waktu saya masih kanak-kanak. Rupanya sekarang masih banyak lagi yang begitu.

Kadangkala saya merungut saat basah kerana tempias hujan. Sedangkan di tempat lain, nak makan pun belum tentu ada.

Hari menuju malam. Awan juga memberat dan gelap. Hujan bakal turun lagi. Kami teruskan perjalanan melalui pekan Pendang menghala ke Stesen Komuter Kobah.

“Di bukit sana kampung saya. Itu semua kebun getah.”

Saya nampak bukit disebelah kiri jalan. Tak berapa jauh dari jalan besar.

Cerita beliau, ayahnya pencen dari Jabatan Penjara, berpindah pulang ke kampung dan kini menoreh getah dikebun tinggalan keluarga.

“Aircond kereta ni sejuk doktor. Ayah baru baiki”.

Betul, sejuk sungguh aircond Kancil ini. Patutlah dia memakai jaket sejak awal memandu tadi.

Sampai di Stesen Komuter Kobah, suami saya dah pun menunggu. Alhamdulillah.

“Esok saya belanja Anis”.
Kata saya sambil kami sama-sama gelak sebelum saya menutup pintu kereta.

Adik ini sedang bekerja sambilan dibawah bumbung yang sama dengan saya.

Kawan-kawan,
Doakan beliau nanti berjaya jadi doktor yang baik dan berdedikasi.
Mudahan kesempatan yang ada ini, dapatlah saya bantu beri panduan sedikit sebelum beliau dapat panggilan housemanshipnya.

Najwa Hamidi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: